Bismillah.
Kita sering dihadapkan dengan tekanan kerja yang membebankan. Sama ada
kerja di pejabat atau assignment, semuanya menuntut waktu yang
membuatkan kita rasa tersepit. Semua nak cepat dan semua mesti sempurna. Kerja yang lama masih bertambun, kini ditambah
lagi dengan kerja-kerja yang baru. Kadang-kala di atas meja kita penuh dengan
dokumen-dokumen sehingga menenggelamkan diri kita dicelahannya.
Kita pula tidak pernah
berpeluang menolak atau jauh sekali untuk membiarkan semuanya terbengkalai.
Mahu atau tidak, kita terpaksa melalui semuanya dengan muka yang kelat. Ketika
itu, kita rasa, kitalah orang yang paling sibuk sehingga langsung tak sempat
melihat orang lain.
Kita terpaksa melalui
semuanya dengan redha kerana itulah periuk nasi kita. Kita takut masa depan
kita akan gelap jika kita mengabaikan tanggung jawab itu. Kita takut
hutang-hutang yang sekeliling pinggang akan tertunggak jika kita diberhentikan.
Kita takut tidak boleh lagi bermewah-mewah jika gaji kita dipotong. Semua itu
buat kita terlalu fokus dengan kerja dan lupa segala yang lain.
Ada waktu bila tawaran
kenaikan pangkat dibuat, kita semakin sibuk membuktikan kehebatan kita. Kita
bertungkus lumus memanfaatkan tiap waktu hanya untuk kerja. Kita berkobar-kobar
mengejar tawaran itu kerana kenaikan pangkat bererti kenaikan gaji.
Kita mula memikirkan jika
gaji dinaikkan, bolehlah beli itu dan ini. Boleh bawa anak-anak makan angin.
Boleh tukar kereta atau rumah yang lebih selesa. Boleh belanja orang tersayang.
Indahnya semua itu jika ia jadi milik kita.
Kesibukan telah
meletakkan kita jauh dari masyarakat. Kita tidak lagi punya masa bersapa atau
bersalam sesama kita (yang mahram). Kita tak lagi punya ruang menziarahi
saudara yang sakit. Kita tidak sempat nak bertanya khabar keluarga dan sahabat.
Kita juga sudah mulai
jauh untuk sujud pada yang Maha Pemilik. Kesibukan yang begitu mencengkam, buat
kita lupa bahawa semua yang kita kejar itu milik Allah. Sepatutnya kepada
Allah, kita dahulukan dan kita patut lebih risau jika Allah menghentikan segala
yang diberikan. Kita lupa tanggungjawab sebenar, kita dilahirkan ke bumi ini
sebagai apa? Allah pula sentiasa mengingatkan kita dengan pelbagai cara. Kita
seharusnya lebih peka mendengar atau melihat agar ia boleh menjadi pengajaran
buat kita.
Pernahkah kita melihat
betapa banyaknya kerja seekor semut?. Semut tidak pernah duduk-duduk saja.
Semut tidak pernah sempat berhenti untuk melepak atau berfoya-foya. Masa yang
ada digunakan sepenuhnya untuk bekerja.
Tetapi, semut tidak
pernah berhenti berzikir kepada yang Maha Esa. Di dalam kesibukannya semut
tidak pernah lupa bersapa/bersalam sesama mereka. Semut juga tidak pernah
mengabaikan semut lain yang sakit atau cedera. Walau dia sedang mengangkat
makanan, sempat juga dia memikul semut lain yang sakit. Subhanallah. Allah
hantar mesej pada kita melalui semua
itu, supaya kita lihat dan fikir. Namun kita sengaja membutakan mata dan hati
kita.
Jika kita rasa kita hebat
kerana kedudukan dan kerjaya kita, mungkin kita patut lihat kedudukan
Rasulullah S.A.W. Baginda bukan sekadar seorang rasul, malah seorang pemimpin
dunia yang hebat. Baginda seorang sahabat yang sentiasa punya waktu untuk
sahabatnya. Seorang suami, ayah dan datuk yang tidak pernah mengabaikan waktu
bersama keluarganya. Baginda seorang pendakwah yang tidak pernah berhenti
menyampaikan dakwahnya. Malah baginda jauh lebih sibuk daripada kita sekarang,
namun baginda tidak pernah melupakan tanggung jawabnya kepada yang Maha Esa.
Begitu juga dengan
pemimpin Islam yang lain. Renungkan kehidupan Imam Malik, Imam Asy-Syafi’i,
Imam Al-Razali, Ibu Sinar dan ramai lagi. Mereka bukan sahaja pakar dalam
pelbagai bidang, memimpin, berdakwah, penulis buku, mengajar malah seorang yang
alim pada yang Maha Esa juga.
Jadi siapa kita yang
merasakan kita begitu sibuk sehingga meninggalkan solat lima waktu dan
mengabaikan tanggung jawab kita yang lain. Hebat sangatkah kita? Fikirkanlah...
Wallahualam.
Nukilan,
Nor Faizah Abdullah
21 Okt. 2013
Bt. Arang, Selangor