Bismillah.
Hidup di bumi yang penuh
dengan liku-liku ini pasti bukanlah sesuatu yang mudah untuk kita lalui. Kita
tidakkan pernah mampu sendirian jika tidak berteman dan pasti saja tersasar
kira tidak dipandu. Maha Suci Allah, lebih memahami kudrat dan kemampuan kita. Allah
meletakkan kita di bumi ini dengan alam yang menjadi teman, sekali gus menjadi
guru kepada kita secara tidak langsung.
Alam yang cukup indah dan
penuh dengan pelbagai benda sentiasa mengelilingi kita. Terlalu banyak sehingga
kita tidakkan berupaya mengiranya. Allah tidak pernah menciptakan semua ini
sebagai sia-sia.
Sama ada kita sedar atau
tidak, alam sebenarnya sering berbicara dengan kita. Mereka berbicara dengan
pelbagai cara dan kaedah. Sama ada kita memang tidak memahami atau sebenarnya
kita yang bernama manusia ini terlalu ego hingga tidak pernah mahu mempedulikan
makhluk yang lemah itu menyapa dan mengajar kita.
Usia kita bergerak dalam
perjalanan waktu yang pantas. Waktu yang berlari sering pula disaingi kemajuan
dunia. Hari melangkah tidak lagi dirasakan bererti kerana kita lebih sibuk
mengejar kemajuan demi kemajuan hinggalah kita lupa pada pendirian dan sumpah yang
kita lafazkan dihadapan Allah di alam roh dahulu. Semuanya kerana kita terlalu
memikirkan ruang di atas kemajuan dunia. Kita terlalu inginkan tempat di celah
kehebatan peradaban dunia.
Sedangkan alam pula terus
menyapa dan menyapa pada kita. Berehetlah seketika. Mata itu terlalu penat
menatap muka gajet dan komputer. Lihatlah pada hijau pokok yang Allah
ciptakan, cukup menenangkan. Pokok mampu mengubat kepenatan mata dan mengisi
setiap nadi kita dengan oksigen yang tidak pernah jemu dikeluarkan.
...walau semaju/semoden mana pun pokok ditanam...
...walau setinggi mana pokok ditempatkan di dalam bangunan lima bintang...
...walau semahal mana ia dinilai...
...pokok tidak pernah lupa tanggung jawabnya mengeluarkan oksigen buat
kita. Alangkah patuhnya pokok pada suruhan Allah, tidak pernah ego atau sombong
pada penciptaNya.
Tapi, semakin maju
manusia kerana kemodenan, semakin jauh kita dengan Allah. Semakin lupa kita
pada perintahNya. Semakin sombong kita membangga diri. Semakin kita ketepikan
tanggung jawab kita di bumi ini.
Semakin laju kita berlari
mengejar kemajuan dunia, semakin kita lupa pada lima waktu yang wajib kita
berhenti. Semakin pula kita lupa membaca helaian warkah cinta dari yang Maha
Pencinta. Lidah pula semakin sibuk hingga tiada lagi masa kita memuji yang Maha
Indah lagi Maha Pemilik. Kita lupa siapa kita di dunia fana yang kejar. Kita
lupa...
Mengapa?
Mengapa harus terjadi begitu?
Sedangkan kita yang bernama manusia ini adalah sebaik-baik ciptaan yang
Allah muliakan.
Mengapa kita begitu sombong? Sedangkan semua yang ada pada kita sekarang
adalah pinjaman yang Allah berikan?
Mengapa kita begitu ego
sehingga tidak pernah mahu belajar dari alam? Sesungguhnya alam yang memenuhi
bumi ini adalah teman yang tidak pernah jemu menegur dan mengajar kita. Selama
mana kita mahu menjadi tuli dan buta hati? Fikirkanlah.
Wallahualam.
Apa Sebenarnya
wahai manusia yang dimuliakan
mengapa kau berlari
apa yang mengejarmu
apa yang kau kejarkan
sedang yang kau kejar itu
telah pasti
dalam janji Allah
buat setiap yang bernyawa
walau pantas kamu berlari mengejarnya
jika bukan izin dariNya
lelah saja kan jadi milikmu
sedangkan yang mengejarmu
itu jua pasti
penutup usiamu
kerana Allah telah menulisnya
sebelum kau tiba di sini
mengapa pula tidak kau peduli
jadi apa lagi
yang kau kejarkan
sedangkan redha yang Maha Pemilik
kau pinggirkan
sedangkan hak yang Maha Agung
sepi terbiar
apa sebenarnya yang kau cari
setelah semuanya Allah sediakan
apa lagi yang mahu
setelah seluas alam Allah kurniakan
apa sebenarnya dibenakmu
wahai makhluk bernama manusia
kerana aku hanya pohon
terlalu cintakan DIA
Nukilan,
Nor Faizah Abdullah
17 Oktober 2013
Batu Arang
No comments:
Post a Comment