Bismillah.
Antara iman dan wang yang tidak halal, kita sering tewas memilih. Bukan
kerana kita tidak tahu membuat pilihan. Bukan juga kerana kita tidak punya
cukup ilmu untuk memilih. Tetapi mungkin kerana kita tidak sedar betapa
hebatnya kuasa memilih itu.
Hebatnya kuasa memilih
hingga impak pilihan itu benar-benar mengubah perjalanan. Seandainya iman
menjadi pilihan, bererti kita harus menghanyutkan lubuk emas yang berada
ditelapak kaki kita. Mampukah kita melalui segala perubahan andai pilihan yang
dibuat menyebabkan kita terduduk dan kehilangan segala yang kita impikan sejak
bertahun-tahun lamanya.
Sedangkan telah nyata wang
merupakan jambatan untuk kita menyeberangi kemiskinan diri. Wang adalah cagaran
untuk mengubati sakit yang kita tanggung. Wang juga adalah lesen untuk menambat
hati orang di sekeliling kita. Wang merupakan kunci segala kesenangan di dunia yang
serba mahal. Wang ibarat butang untuk kita menutup segala duka lama ketika
merempat di jalanan. Wang juga mempu menutup mulut pemiutang dan tetangga yang
mengumpat siang dan malam. Wang merupakan pintu untuk kita melangkah selari
dengan zaman.
Kita mulai tertekan
memikirkan pilihan. Selama ini kita berdoa, setiap saat. Setiap ketika agar
murahkan rezeki oleh yang Maha Pemilik. Hingga berkotak-kota tisu kita habiskan
mengesat air mata yang bercucuran ketika merayu dengan Tuhan.
Hari ini tika Allah
tunaikan permintaan, dikurniakan kita rezeki yang murah untuk pilihan. Kitalah yang tekah meminta rezeki yang murah,
bukan? Terlalu murah. Sehingga tiada bererti bila ia hanyalah selonggok wang haram. Namun semua itu kita butakan, bila
mana longgokan wang yang melambai lebih kita fikirkan.
Pasti semakin kusut, bila
telefon berdering. Hampir setiap minit bertanyakan hutang yang berbulan
tertunggak tiada bayaran. Bukan satu, bukan dua, bukan tiga tetapi tidak
terkira lagi tuntutan hutang datang.
Aduhai, bagaimana harus kita
membuat pilihan? Kata orang, “rezeki tak datang bergolek setiap hari”.
Kata teman-teman yang
sibuk menikmati dunia, “apalah yang hendak diberatkan akal. Rezeki tu Tuhan
yang bagi. Maknanya Tuhan dah makbulkan doa. Terima saja tawaran wang itu dan
bayar semua hutang piutang yang bertambun. Tutup cerita duka. Bukankah senang?”
Kemudian kita semakin
resah. Resah sehingga kita tidak mahu melihat alam yang penuh dengan pengajaran
buat kita. Barangkali kita patut berhenti rehat seketika daripada terus mendengar
suara-suara manusia yang sudah tergadai imannya. Mungkin kali ini, kita patut
memandang pada perjalan hidup sebutir batu.
Sekali pun batu
bertaburan ditepi jalan, disepak-sepak sesuka hati. Tidak dihargai malah tidak
keruan hidupnya. Namun tidak pernah pula ia berhenti berzikir dan bersyukur pada
penciptanya. Yakinnya batu pada janji yang Maha Esa hingga tiada pernah meragui
pada takdir ke atas dirinya.
Kita sepatutnya belajar pada
pendirian sebutir batu. Batu tidak akan berubah walau di mana pun ia berada.
Andai diletakkan batu dilumpur, ia tetap tidak mengubah warnanya. Andai
dicampak batu ke sungai, ia tidakkan berubah menjadi ikan. Andai dicampak ke
langit ia pasti kembali ke bumi. Begitu teguhnya pendirian sebutir batu hingga
tidak sekalipun berganjak dari asalnya.
Barangkali sikap itulah yang
harus kita pegang. Apa pun yang datang menguji, kepada Allah kita kembali. Apabila
Allah uji kita dengan kesusahan, itu bukanlnya malang. Tetapi itulah sebenarnya
sebuah rezeki buat kita.
Rezeki pahala yang
melimpah-ruah kerana kesabaran. Rezeki ilmu melalui pengalaman. Rezeki iman kerana
semakin dekat dengan Tuhan. Rezeki motivasi yang membina sahsiah diri. Rezeki
makbul pada doa dan permintaan. Semua itu tidakkan mampu kita beli dengan wang.
Yakinilah, andai kita
sanggup korbankan jutaan wang yang haram demi iman dan redha Allah, nescaya
kita tidakkan pernah mampu menghitung banyaknya nikmat serta ganjaran akan
Allah kurniakan.
Sebenarnya Allah selalu
berbicara dengan kita melalui perantaraNya. Cuma kita yang selalu tuli dan buta
hati hanya kerana ego pada pinjaman dan nikmat yang Allah beri....Fikirkanlah.
Wallahualam.
Bila Batu Bersuara
Wahai makhluk yang dimuliakan
mengapa hatimu menjadi lalang
meliuk bagai tidak bertulang
sedangkan teguh utuh
sumpah sebuah pegangan
mengapa masih memandang-mandang
sudah nyata lagi terang
yang kanan tetap kanan
yang kiri tetap di kiri
Nukilan,
Nor Faizah Abdullah
18 Okt. 2013
Bt. Arang, Selangor
No comments:
Post a Comment