12 February 2012

PATAH SAYAP

Ya Rabbi
telah patah sayapku
bila mana dia pergi
sedangkan selama ini
pada dia aku berpaut
tiap kali rebah ketika menggalas amanah

Ya Rabbi
bagaimana dapat kupinta
pada sayapku yang dibawa pergi
parah dan payah
untuk bangkit kembali
melebar sayap dan panji-panji
sedang hati tak rela
berpatah arang
sedang hasrat bersisa
melangkah dalam kelam

atau barangkali
aku harus
mencari arah lain
bersama tiupan angin
yang lebih damai dan mendokong
mengubati sayap yang patah
kembali semula
dengan bayangannya
memikul amanah

Ya Rabbi
tolonglah...

01 February 2012

Bukan Kemahuan

alangkah payah menjadi batu
pada hatiku yang lembut
harusku keraskan
harus tegas
mengeluarkan butiran kata
demi menakutkan
kerana meraka tidak pernah takut
walau pada Tuhan

aku kira kelembutan bisa membentuk batu
namun mereka bukan batu
mereka adalah air yang keras dan deras
bila mana berlembut 
mereka melemaskan
dan mereka jua turut lemas dalam dosa



takut itu dicipta untuk membina
kerana meraka mudah lupa
bila dimanja
kerana mereka
bukan kemahuanku


 

19 January 2012

Ya Rabbi

Ya Rabbi
berikan aku petunjuk
pada amanah yang aku galas
pada janji hati yang aku lafaz
pada tekad yang aku pertahan

Ya Rabbi
berikan aku kekuatan
pada segala kesakitan yang mendatang
pada segala kepayahan yang menguji

Ya Rabbi
kerikan ketenangan 
pada segala ketegangan
pada segala takanan yang membebankan

Ya Rabbi
berikan aku cinta 
pada segala kebencian yang tumbuh di lubuk hati
yang menghitamkan keputihan jiwa

Ya Rabbi
berikan aku kelembutan
pada hati yang keras yang aku hadap
pada akal yang memberontak
ketika membawa amanah dan tanggungjawab

Ya Rabbi
berikan aku sebuah keikhlasan
walau segala yang aku tempuh ini
menyakitkan zahir dan batinku

KIRA BUKAN

kira bukan kerana kasih
pasti aku telah pergi
mencari keindahan yang didambar di hati
pasti telah lama
aku bebaskan hatiku
dari segala resah yang membebankan

kira bukan kerana kasih
pasti telah lama aku tinggalkan
wajah-wajah mual
memandangku
hanya kerana amanah itu
kugalas dan kupertahankan

kira bukan kerana kasih
pasti telah lama aku biarkan
mereka hanyut dengan keinginan
kelalaian yang meragut kewarasan
mereka lupa akan kebesaran Tuhan
mereka alpa dengan kebergantungan
pada kasih Ilahi
mereka seperti tidak pernah kenal
Yang Maha Pemilik
sehingga bangga menjadi petualang
sedang segalanya Allah pinjamkan

kira bukan kerana kasih
pasti semalam lagi aku telah pergi
membawa tubuhku
menikmati kedamaian dan kebebasan
tanpa perlu bersusah menahan mata 
pasti aku telah enak merehat tubuh

kira bukan kerana kasih
aku tidak akan di sini

kira bukan kerana kasih Ilahi
pasti telah lama aku mati
mati hati
mati akal
mati sebelum hari kematianku

Ya Rabb
berikan aku kekuatan
untuk bertahan
untuk berteguh
untuk terus berdiri 
mempertahankan amanah dengan jujur
membina insan walau dalam kepayahan
walau meragut nyawaku
biarkan aku terus bertahan
tolonglah wahai Tuhan

ameen