sedikit TENTANG AKU

SIAPA SAYA ?

Dilahir dan diberi nama NOR FAIZAH ABDULLAH. 
Ketika kecil...aku kurang suka pada nama ini. Barangkali kerana perjalanan hidupku menjadikan nama ini tidak mengembirakan hatiku.

Apabila usiaku kian meningkat mencecah matang..aku mula faham pada ketentuan Ilahi. Pada setiap aturan yang Allah tuliskan dalam kitab takdir hidupku.

Ternyata makna disebalik nama telah menjadi motivasi sepanjang langkahku di atas bumi fana ini. 

CAHAYA KEJAYAAN HAMBA ALLAH

erti yang mengingatkan aku bahawa aku sama sekali TIDAK BOLEH berputus asa, kerana aku punya tanggungjawab sebagai cahaya kepada kejayaan hamba Allah. 
Aku harus bangkit membantu saudaraku yang rebah utk bangkit dan berjaya.

Di situlah aku sering dibakar semangat untuk terus melangkah walau dalam kepayahan dan kesakitan.

Aku hanya insan biasa yang tamat sekolah menengah dengan keputusan SPM yang tidak cemerlang. Cemerlang itu telah lama ku kuburkan mimpinya..kerana aku hanya hanya mengharap lepas nyawaku ketika itu.

Di sekolah dulu mungkin aku dikenali kerana keaktifanku di dalam ko-kurikulum. Aku aktif di padang sebagai wakil rejam lembing dan peluru. Di bahagian persatuan aku gemar menyertai pertandingan ke sekolah-sekolah hingga ke peringkat negeri. 

Namun sehebat mana di sekolah tidak menjamin apa-apa di dunia luar. Kegawatan ekonomi 1997 menjadikan aku dilamar menjadi kerani bank. 

13 tahun aku korban masaku, tenagaku, kebolehanku, impianku dengan bekerja sebagai kerani di bank tempatan. Terlalu banyak aku pelajari dari kehidupanku di bidang perbankan. 

Di situ aku kenal manusia & dunia. 
Di situ aku kenal hidup bergaul dengan pelbagai pangkat dan darjat.
Di situ aku bertutur dengan yakin.
Di situ aku tahu tentang kecekapan, kejujuran, keberanian, keyakinan, kepimpinan, ketabahan.
Di situ aku kenal penghinaan kebodohan dan kekurangan.
Di situ aku juga aku sedar aku punya potensi untuk melangkah ke bidang yang lain.

13 tahun bukan satu waktu yang pendek. Aku rasa begitu panjang kerana aku bekerja tidak seperti orang lain yang rindu untuk pulang ke rumah. Bagiku pejabat adalah duniaku. rumahku adalah singgahan seketika untuk merehat mata.

Aku tamatkan semuanya di situ. 2010 aku tinggalkan semuanya dengan nekad tanpa punya rancangan. Hanya Allah tempat aku bergantung ketika itu. Aku yakin Allah akan pelihara aku. 

Aku bukan seperti gadis lain yang memilih untuk kerja yang menjaga wajah mereka dari panas mentari. Selama aku hidup di bumi ini pelbagai pekerjaan sudah aku lakukan.

Aku sudah mula menimba pengalaman sebagai tukang cuci (cleaner bank) ketika aku di tingkatan 4 & 5. Bekerja membersih kotoran ini menjadikan aku berasa bersyukur dan memahami hati orang yang bekerja di bidang ini.

Aku mula berkerja sebagai awek kilang. 6 bulan aku bertahan selepas SPM untuk mencari pengalaman. Kerja dengan sebuah syarikat milik Jepun mengajar aku erti disiplin & kebersihan. Dari hanya bekerja sebagai operator pengeluaran untuk produk kecil, aku pinta untuk melakukan kerja yang lebih mencabar di bahagian produk besar yang mengharuskan aku mengangkat produk 15-20kg X 15 kotak sehari untuk diasing-asingkan dari induknya. Kerja yang lasak itu menjadikan aku miliki tangan yang kuat dan kasar.

Aku pernah juga bekerja di tapak jualan besi buruk, sebagai pemotong besi dan membengkokkannya sebelum dimsumbat ke dalam guni. Di sini juga menjadikan aku miliki tangan yang kuat dan kasar.

Aku pernah bekerja sebagai pemungut kertas terpakai. Hampir setiap waktu mataku liar memerhati sekeliling dan tong sampah. Aku rasa marah bila orang membazir membuang kertas-kertas yang masih boleh dipakai (recycle). Di sini aku belajar dan membenci sifat yang suka membazir.

Aku pernah mengambil upah dari kilang untuk membuat kerja kilang secara part time di rumah. Di situ aku kenal erti harga murah dibayar pada orang yang susah. Keringat mereka dikerah hingga kering, upah mereka dibayar tidak setanding.

Aku mula menceburi bidang fotografi. Semua jenis kerja fotografi aku buat. Walau pun aku dibayar murah, aku tetap terima demi ilmu & pengalaman.  Aku belajar tentang sifat manusia yang ghairah dengan pujian. Aku belajar tentang besarnya kuasa Tuhan mencipta alam. aku belajar memburu cinta Allah.

Dalam keadaan aku yang tak punya kerja tetap, aku menyambung pengajian di bidang fotografi secara separuh masa. Allah yang memberikan aku segalanya..membolehkan aku menyandang Diploma Kelas Pertama. Apa yang aku boleh buat dengan semua itu...aku belum tahu.

Aku turut menceburi bidang edit layout buku. Sungguh aku sifar ilmu. aku bergantung hanya dengan doa pada yang Esa. Alhamdulillah aku berjaya mengedit beberapa buah buku dalam setahun. Aku belajar erti ilmu dan pengusaan bahasa melalui pembacaan. Aku belajar erti sabar dalam ketelitian mengedit.

Aku mendalami ilmu herba & tumbuhan. Hampir sepanjang hari aku habiskan dengan mentelaah buku-buku di perpustakaan. Kemuan aku mula menanam & mebiakkan anak-anak pokok herba. Aku turut menjualnya & aku kongsikan ilmu-ilmu ubatan melalui pemakanan tradisional.







No comments: