17 October 2013

Apa Sebenarnya (Siri Belajar Dari Alam)



Bismillah.    
 
          Hidup di bumi yang penuh dengan liku-liku ini pasti bukanlah sesuatu yang mudah untuk kita lalui. Kita tidakkan pernah mampu sendirian jika tidak berteman dan pasti saja tersasar kira tidak dipandu. Maha Suci Allah, lebih memahami kudrat dan kemampuan kita. Allah meletakkan kita di bumi ini dengan alam yang menjadi teman, sekali gus menjadi guru kepada kita secara tidak langsung.

          Alam yang cukup indah dan penuh dengan pelbagai benda sentiasa mengelilingi kita. Terlalu banyak sehingga kita tidakkan berupaya mengiranya. Allah tidak pernah menciptakan semua ini sebagai sia-sia. 

          Sama ada kita sedar atau tidak, alam sebenarnya sering berbicara dengan kita. Mereka berbicara dengan pelbagai cara dan kaedah. Sama ada kita memang tidak memahami atau sebenarnya kita yang bernama manusia ini terlalu ego hingga tidak pernah mahu mempedulikan makhluk yang lemah itu menyapa dan mengajar kita.

          Usia kita bergerak dalam perjalanan waktu yang pantas. Waktu yang berlari sering pula disaingi kemajuan dunia. Hari melangkah tidak lagi dirasakan bererti kerana kita lebih sibuk mengejar kemajuan demi kemajuan hinggalah kita lupa pada pendirian dan sumpah yang kita lafazkan dihadapan Allah di alam roh dahulu. Semuanya kerana kita terlalu memikirkan ruang di atas kemajuan dunia. Kita terlalu inginkan tempat di celah kehebatan peradaban dunia.

          Sedangkan alam pula terus menyapa dan menyapa pada kita. Berehetlah seketika. Mata itu terlalu penat menatap muka gajet dan komputer. Lihatlah pada hijau pokok yang Allah ciptakan, cukup menenangkan. Pokok mampu mengubat kepenatan mata dan mengisi setiap nadi kita dengan oksigen yang tidak pernah jemu dikeluarkan. 


...walau semaju/semoden mana pun pokok ditanam...

...walau setinggi mana pokok ditempatkan di dalam bangunan lima bintang...

...walau  semahal mana ia dinilai...

...pokok tidak pernah lupa tanggung jawabnya mengeluarkan oksigen buat kita. Alangkah patuhnya pokok pada suruhan Allah, tidak pernah ego atau sombong pada penciptaNya.  



          Tapi, semakin maju manusia kerana kemodenan, semakin jauh kita dengan Allah. Semakin lupa kita pada perintahNya. Semakin sombong kita membangga diri. Semakin kita ketepikan tanggung jawab kita di bumi ini.

          Semakin laju kita berlari mengejar kemajuan dunia, semakin kita lupa pada lima waktu yang wajib kita berhenti. Semakin pula kita lupa membaca helaian warkah cinta dari yang Maha Pencinta. Lidah pula semakin sibuk hingga tiada lagi masa kita memuji yang Maha Indah lagi Maha Pemilik. Kita lupa siapa kita di dunia fana yang kejar. Kita lupa...


Mengapa?

Mengapa harus terjadi begitu?

Sedangkan kita yang bernama manusia ini adalah sebaik-baik ciptaan yang Allah muliakan.

Mengapa kita begitu sombong? Sedangkan semua yang ada pada kita sekarang adalah pinjaman yang Allah berikan?


          Mengapa kita begitu ego sehingga tidak pernah mahu belajar dari alam? Sesungguhnya alam yang memenuhi bumi ini adalah teman yang tidak pernah jemu menegur dan mengajar kita. Selama mana kita mahu menjadi tuli dan buta hati? Fikirkanlah.

Wallahualam.







Apa  Sebenarnya

wahai manusia yang dimuliakan
mengapa kau berlari
apa yang mengejarmu
apa yang kau kejarkan

sedang yang kau kejar itu
telah pasti
dalam janji Allah
buat setiap yang bernyawa
walau pantas kamu berlari mengejarnya
jika bukan izin dariNya
lelah saja kan jadi milikmu

sedangkan yang mengejarmu
itu jua pasti
penutup usiamu
kerana Allah telah menulisnya
sebelum kau tiba di sini
mengapa pula tidak kau peduli

jadi apa lagi
yang kau kejarkan
sedangkan redha yang Maha Pemilik
kau pinggirkan
sedangkan hak yang Maha Agung
sepi terbiar

apa sebenarnya yang kau cari
setelah semuanya Allah sediakan
apa lagi yang mahu
setelah seluas alam Allah kurniakan

apa sebenarnya dibenakmu
wahai makhluk bernama manusia
kerana aku hanya pohon
terlalu cintakan DIA

Nukilan,
Nor Faizah Abdullah
17 Oktober 2013
Batu Arang



      

No comments: