22 October 2013

Siapa Lebih Sibuk



Bismillah.


Kita sering dihadapkan dengan tekanan kerja yang membebankan. Sama ada kerja di pejabat atau assignment, semuanya menuntut waktu yang membuatkan kita rasa tersepit. Semua nak cepat dan semua mesti sempurna. Kerja yang lama masih bertambun, kini ditambah lagi dengan kerja-kerja yang baru. Kadang-kala di atas meja kita penuh dengan dokumen-dokumen sehingga menenggelamkan diri kita dicelahannya.
          Kita pula tidak pernah berpeluang menolak atau jauh sekali untuk membiarkan semuanya terbengkalai. Mahu atau tidak, kita terpaksa melalui semuanya dengan muka yang kelat. Ketika itu, kita rasa, kitalah orang yang paling sibuk sehingga langsung tak sempat melihat orang lain.
          Kita terpaksa melalui semuanya dengan redha kerana itulah periuk nasi kita. Kita takut masa depan kita akan gelap jika kita mengabaikan tanggung jawab itu. Kita takut hutang-hutang yang sekeliling pinggang akan tertunggak jika kita diberhentikan. Kita takut tidak boleh lagi bermewah-mewah jika gaji kita dipotong. Semua itu buat kita terlalu fokus dengan kerja dan lupa segala yang lain.
          Ada waktu bila tawaran kenaikan pangkat dibuat, kita semakin sibuk membuktikan kehebatan kita. Kita bertungkus lumus memanfaatkan tiap waktu hanya untuk kerja. Kita berkobar-kobar mengejar tawaran itu kerana kenaikan pangkat bererti kenaikan gaji.
          Kita mula memikirkan jika gaji dinaikkan, bolehlah beli itu dan ini. Boleh bawa anak-anak makan angin. Boleh tukar kereta atau rumah yang lebih selesa. Boleh belanja orang tersayang. Indahnya semua itu jika ia jadi milik kita.
          Kesibukan telah meletakkan kita jauh dari masyarakat. Kita tidak lagi punya masa bersapa atau bersalam sesama kita (yang mahram). Kita tak lagi punya ruang menziarahi saudara yang sakit. Kita tidak sempat nak bertanya khabar keluarga dan sahabat.
          Kita juga sudah mulai jauh untuk sujud pada yang Maha Pemilik. Kesibukan yang begitu mencengkam, buat kita lupa bahawa semua yang kita kejar itu milik Allah. Sepatutnya kepada Allah, kita dahulukan dan kita patut lebih risau jika Allah menghentikan segala yang diberikan. Kita lupa tanggungjawab sebenar, kita dilahirkan ke bumi ini sebagai apa? Allah pula sentiasa mengingatkan kita dengan pelbagai cara. Kita seharusnya lebih peka mendengar atau melihat agar ia boleh menjadi pengajaran buat kita.
          Pernahkah kita melihat betapa banyaknya kerja seekor semut?. Semut tidak pernah duduk-duduk saja. Semut tidak pernah sempat berhenti untuk melepak atau berfoya-foya. Masa yang ada digunakan sepenuhnya untuk bekerja.
          Tetapi, semut tidak pernah berhenti berzikir kepada yang Maha Esa. Di dalam kesibukannya semut tidak pernah lupa bersapa/bersalam sesama mereka. Semut juga tidak pernah mengabaikan semut lain yang sakit atau cedera. Walau dia sedang mengangkat makanan, sempat juga dia memikul semut lain yang sakit. Subhanallah. Allah hantar mesej pada kita  melalui semua itu, supaya kita lihat dan fikir. Namun kita sengaja membutakan mata dan hati kita.
          Jika kita rasa kita hebat kerana kedudukan dan kerjaya kita, mungkin kita patut lihat kedudukan Rasulullah S.A.W. Baginda bukan sekadar seorang rasul, malah seorang pemimpin dunia yang hebat. Baginda seorang sahabat yang sentiasa punya waktu untuk sahabatnya. Seorang suami, ayah dan datuk yang tidak pernah mengabaikan waktu bersama keluarganya. Baginda seorang pendakwah yang tidak pernah berhenti menyampaikan dakwahnya. Malah baginda jauh lebih sibuk daripada kita sekarang, namun baginda tidak pernah melupakan tanggung jawabnya kepada yang Maha Esa.
          Begitu juga dengan pemimpin Islam yang lain. Renungkan kehidupan Imam Malik, Imam Asy-Syafi’i, Imam Al-Razali, Ibu Sinar dan ramai lagi. Mereka bukan sahaja pakar dalam pelbagai bidang, memimpin, berdakwah, penulis buku, mengajar malah seorang yang alim pada yang Maha Esa juga.
          Jadi siapa kita yang merasakan kita begitu sibuk sehingga meninggalkan solat lima waktu dan mengabaikan tanggung jawab kita yang lain. Hebat sangatkah kita? Fikirkanlah...

Wallahualam.
           
Nukilan,
Nor Faizah Abdullah
21 Okt. 2013
Bt. Arang, Selangor

No comments: