18 October 2013

Sebutir Batu (Siri Belajar Dari Alam)



Bismillah.



Antara iman dan wang yang tidak halal, kita sering tewas memilih. Bukan kerana kita tidak tahu membuat pilihan. Bukan juga kerana kita tidak punya cukup ilmu untuk memilih. Tetapi mungkin kerana kita tidak sedar betapa hebatnya kuasa memilih itu.
          Hebatnya kuasa memilih hingga impak pilihan itu benar-benar mengubah perjalanan. Seandainya iman menjadi pilihan, bererti kita harus menghanyutkan lubuk emas yang berada ditelapak kaki kita. Mampukah kita melalui segala perubahan andai pilihan yang dibuat menyebabkan kita terduduk dan kehilangan segala yang kita impikan sejak bertahun-tahun lamanya.
          Sedangkan telah nyata wang merupakan jambatan untuk kita menyeberangi kemiskinan diri. Wang adalah cagaran untuk mengubati sakit yang kita tanggung. Wang juga adalah lesen untuk menambat hati orang di sekeliling kita. Wang merupakan kunci segala kesenangan di dunia yang serba mahal. Wang ibarat butang untuk kita menutup segala duka lama ketika merempat di jalanan. Wang juga mempu menutup mulut pemiutang dan tetangga yang mengumpat siang dan malam. Wang merupakan pintu untuk kita melangkah selari dengan zaman.
          Kita mulai tertekan memikirkan pilihan. Selama ini kita berdoa, setiap saat. Setiap ketika agar murahkan rezeki oleh yang Maha Pemilik. Hingga berkotak-kota tisu kita habiskan mengesat air mata yang bercucuran ketika merayu dengan Tuhan.
          Hari ini tika Allah tunaikan permintaan, dikurniakan kita rezeki yang murah untuk pilihan.  Kitalah yang tekah meminta rezeki yang murah, bukan? Terlalu murah. Sehingga tiada bererti bila ia hanyalah selonggok  wang haram. Namun semua itu kita butakan, bila mana longgokan wang yang melambai lebih kita fikirkan.
          Pasti semakin kusut, bila telefon berdering. Hampir setiap minit bertanyakan hutang yang berbulan tertunggak tiada bayaran. Bukan satu, bukan dua, bukan tiga tetapi tidak terkira lagi tuntutan hutang datang.
          Aduhai, bagaimana harus kita membuat pilihan? Kata orang, “rezeki tak datang bergolek setiap hari”.
          Kata teman-teman yang sibuk menikmati dunia, “apalah yang hendak diberatkan akal. Rezeki tu Tuhan yang bagi. Maknanya Tuhan dah makbulkan doa. Terima saja tawaran wang itu dan bayar semua hutang piutang yang bertambun. Tutup cerita duka. Bukankah senang?”
          Kemudian kita semakin resah. Resah sehingga kita tidak mahu melihat alam yang penuh dengan pengajaran buat kita. Barangkali kita patut berhenti rehat seketika daripada terus mendengar suara-suara manusia yang sudah tergadai imannya. Mungkin kali ini, kita patut memandang pada perjalan hidup sebutir batu.
          Sekali pun batu bertaburan ditepi jalan, disepak-sepak sesuka hati. Tidak dihargai malah tidak keruan hidupnya. Namun tidak pernah pula ia berhenti berzikir dan bersyukur pada penciptanya. Yakinnya batu pada janji yang Maha Esa hingga tiada pernah meragui pada takdir ke atas dirinya.
          Kita sepatutnya belajar pada pendirian sebutir batu. Batu tidak akan berubah walau di mana pun ia berada. Andai diletakkan batu dilumpur, ia tetap tidak mengubah warnanya. Andai dicampak batu ke sungai, ia tidakkan berubah menjadi ikan. Andai dicampak ke langit ia pasti kembali ke bumi. Begitu teguhnya pendirian sebutir batu hingga tidak sekalipun berganjak dari asalnya.
          Barangkali sikap itulah yang harus kita pegang. Apa pun yang datang menguji, kepada Allah kita kembali. Apabila Allah uji kita dengan kesusahan, itu bukanlnya malang. Tetapi itulah sebenarnya sebuah rezeki buat kita.
          Rezeki pahala yang melimpah-ruah kerana kesabaran. Rezeki ilmu melalui pengalaman. Rezeki iman kerana semakin dekat dengan Tuhan. Rezeki motivasi yang membina sahsiah diri. Rezeki makbul pada doa dan permintaan. Semua itu tidakkan mampu kita beli dengan wang.  
          Yakinilah, andai kita sanggup korbankan jutaan wang yang haram demi iman dan redha Allah, nescaya kita tidakkan pernah mampu menghitung banyaknya nikmat serta ganjaran akan Allah kurniakan.
          Sebenarnya Allah selalu berbicara dengan kita melalui perantaraNya. Cuma kita yang selalu tuli dan buta hati hanya kerana ego pada pinjaman dan nikmat yang Allah beri....Fikirkanlah.

Wallahualam.


Bila Batu Bersuara

Wahai makhluk yang dimuliakan
mengapa hatimu menjadi lalang
meliuk bagai tidak bertulang
sedangkan teguh utuh
sumpah sebuah pegangan
mengapa masih memandang-mandang
sudah nyata lagi terang
yang kanan tetap kanan
yang kiri tetap di kiri

Nukilan,
Nor Faizah Abdullah
18 Okt. 2013
Bt. Arang, Selangor
 

No comments: