16 April 2011

Aku Hanya Mahu Lihat Kau Tersenyum


Nafasku menjadi tidak keruan. Denyutan jantungku tidak lagi terurus. Aku jadi hilang kata-kata. Fikiranku lebih tertumpu kepada perjalanan denyutan jantung yang sekejap laju sekejap perlahan.

Aku mula rasakan tiada darah mengalir ke tangan dan kakiku. Astarghfirullahalazim…berjuta kali terlafaz. Hanya Allah yang tahu apa yang sedang kuperjuangkan ketika itu. Aku cuba mengawal diriku dari rebah. Aku mencari oksigen. Aku mula rasa seperti dadaku tersepit. Aku tidak mahu sahabat-sahabat melihat keadaanku yang begitu. Biarlah mereka menjamu selera. Aku bimbang akan menyebabkan selera mereka terbantut kelak.
Aku mencari tempat yang lebih lapang untuk menyedut oksigen. Aku sendirian ketika itu…Ya Allah, berikan aku kekuatan.

Perlahan aku menarik nafas. Namun kian sempit kurasakan. Aku cuba lagi namun ternyata aku kian hampir dengan detik itu. Lama aku tidak melalui keadaan ini namun kini ia kembali lagi.

Seorang teman menghampiri. Melihat aku yang lemah dia memelukku. Aku harus kuat. Ya! Aku kuat!. Namun ternyata kesakitan itu lebih kuat dari kudratku. Pandanganku kelam beberapa saat. Aku hampir rebah namun disambut temanku tadi. 

Hanya Allah yang tahu betapa payah bertahan ketika itu.

 Seorang lagi teman menghampiri, kemudian 2 dan 3 orang lagi teman hadir memapah aku ke dalam. Dibaringkan dan macam-macam usaha dilakukan. Aku lihat air mata berguguran dari mata mereka. Aku lihat resah bermain di wajah mereka.. Sungguh ketika itu aku rasa telah menyusahkan mereka namun aku jua terharu dengan kasih yang terpamer. Mereka terus setia di sisiku hingga aku kembali seperti sedia kala. Ya Rabbi, kurniakan sebaik-baik balasan buat mereka.

Apa yang aku harungi hari ini adalah amaran buat diriku…tanda-tanda kemunculannya jelas terjadi.

“…NOKTAH ITU KIAN MENGHAMPIRI…”

Buat sahabat-sahabatku,
Ketahuilah yang aku selalu rasa bertuah memiliki sahabat seperti kalian. Benarlah tidak ada kebetulan dalam perjalanan namun semua ini telah direncana Allah kerana Dia lebih tahu apa yang terbaik buat kita.

Aduhai teman,
Ketika kita tersenyum pada sebuah pertemuan diawal perkenalan…sebenarnya kita telah mengikat janji menerima sebuah perpisahan. Perpisahan itu adalah PASTI. Maka simpanlah air matamu teman untuk kau tumpahkan demi mencari keredhaan Tuhan bukan meratapi diriku kerana sebuah ketentuan.

Untuk aku teman, kalian doakan kekuatan bukan penyembuhan. Biarlah aku terus dalam pelukan kesakitan ini. Aku damai berjuang di laman ini dan aku rela nyawaku menjadi korban.

Benar kesakitan itu amatlah hebat namun aku bahagia menerima hadiah pengampunan dari Allah yg Maha Pengasih..

Teman,
Senyumlah…
Kerana senyuman kalian penawar resahku..

Maafkan aku kira pernah bersalah…
Percayalah…aku hanya mahu lihat kalian tersenyum pada hari itu…

No comments: